Jumaat, 8 Ogos 2008

Ucapan Dasar Pengerusi Kelab Staf 2008/2009

Assalamualaikum w. b. t. dan salam ukhuwah kepada warga Kolej Matrikulasi Labuan (KML)

Banyak perkara yang boleh diperbaiki dalam perhubungan seharian kita demi menghidupkan suasana perpaduan dan kebajikan semua staf KML. Antaranya;

  1. Cakap Belakang - Kadang-kadang kita tidak berpuas hati dengan staf-staf lain tetapi tidak menyuarakan hal tersebut melalui saluran yang betul menyebabkan masalah semakin meruncing.
  2. Hanya Kita Yang Betul - Dalam diri kita terdapat sikap yang mudah mencari dan melihat kesalahan yang dilakukan oleh orang lain bahkan menganggap tindakan orang tersebut sentiasa salah tanpa memberi peluang kepada empunya diri untuk menjelaskan tindakannya.
  3. Suka Mengambil Kesempatan - Melupakan kepentingan orang lain dan mengutamakan kepentingan diri sendiri menyebabkan sesuatu tindakan menimbulkan kesusahan kepada orang lain walhal kita diberi akal untuk mempertimbangkan baik-buruknya akibat perbuatan kita.
  4. Bukan Kerja Aku - Kita menumpukan kepada tugas-tugas tertentu yang dikhususkan kepada kita sahaja tanpa mempedulikan tugas-tugas orang lain. Kita berharap orang lain menyiapkan tugas mereka dengan baik padahal kita sendiri tidak mendalami tugas-tugas kita yang sebenarnya saling berkaitan dengan tugas-tugas orang lain. Sepatutnya kita percaya bahawa hasil yang diperolehi dengan bekerjasama adalah lebih baik daripada berdikari.

Sebagai permulaan, ahli jawatankuasa kelab staf akan merancang dan melaksanakan aktiviti bagi tujuan mengembalikan suasana harmoni di kalangan ahli kelab staf KML disamping menjaga kebajikan ahli.

Marilah kita bersatu padu dalam persekitaran yang tenang tanpa apa-apa sengketa. Berfikirlah secara lebih positif dengan mengampuni dan mendoakan kesejahteraan rakan-rakan yang pernah menyakiti hati kita.

Bagi pihak AJK Kelab Staf Sesi 2008/2009, saya memohon maaf kepada sesiapa yang tersinggung disebabkan kenyataan saya ini.

Wassalam.

Shahrril Anwar Bin Jusoh
Pengerusi Kelab Staf KML 2008/2009
Tarikh: 04 Ogos 2008

(Ringkasan daripada 'Kata-kata Aluan Pengerusi Kelab Staf 2008/2009' yang telah diedarkan kepada semua ketua unit)

Tiada ulasan: